PEMBANTU PENGUATKUASA DIDAKWA ATAS DUA PERTUDUHAN RASUAH

Oleh: Syarmilah Salleh

KOTA KINABALU, 10 Sept – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM1,900 pada 2022.

Tertuduh, Mohd Shah Baz Khan Bin Abdul Wahid, 40, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim YA Tuan Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM800 daripada seorang individu di Maybank Islamic Cawangan Putatan pada 26 April 2022, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap sebuah lori yang melakukan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh menerima RM1,120 pada 6 Oktober 2022 di lokasi sama melalui akaun bank milik seorang individu lain, sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah kenderaan lain.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain mengarahkan dia menyerahkan pasport antarabangsa serta melapor diri di pejabat SPRM dua kali sebulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Oktober depan bagi pengurusan fakta kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, PO Nur Sabirin Binti Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Rujpin Alik dari Tetuan Arthur Borneo & Partners.

TAMAT