PEKERJA MAUT TERTIMBUS RUNTUHAN TANAH DI UMS

KOTA KINABALU, 6 Sept – Seorang lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam 10 kaki ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan tertimbus ketika menggali tanah sebelum operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Komander Operasi, PBK I Judi Trisna berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 2.03 petang, pihaknya mendapati mangsa sudah tertimbus sepenuhnya di dalam tanah.

“Pasukan bomba segera menjalankan kerja-kerja menggali sebelum mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung (stretcher).

Bagaimanapun, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi berkenaan membabitkan seramai 12 anggota bomba dengan bantuan dua jentera, selain turut dibantu pasukan polis serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang.

TAMAT