LAHAD DATU, 18 Okt — Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah dan warga pendidikan, termasuk kes rogol serta salah laku di institusi pendidikan.
Beliau menegaskan bahawa sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi membentuk generasi masa depan, bukannya ruang berlakunya peningkatan kadar jenayah.
“Isu-isu yang berlaku di sekolah amat membimbangkan, khususnya melibatkan guru dan pelajar.
Hubungan erat antara pihak polis dan institusi pendidikan perlu diperkukuhkan agar kita dapat melahirkan generasi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di Dewan Sri Mawar, pagi tadi.
Majlis ramah mesra bersama warga IPD dihadiri kira-kira 80 pegawai dan anggota PDRM termasuk Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail,Timbalan Ketua Polis Daerah, SUPT Jimmy Panyau serta pegawai-pegawai kanan IPD Lahad Datu.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan perlu turun ke lapangan bagi memastikan segala dasar dan amanat Perdana Menteri dilaksanakan sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2025.
Beliau turut mengakui cabaran besar yang dihadapi PDRM masa kini namun percaya komitmen tinggi warga pasukan keselamatan itu mampu mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
“Saya ucapkan tahniah kepada IPD Lahad Datu yang terus memastikan kawasan Pantai Timur Sabah kekal selamat.
PDRM mesti sentiasa berada di tengah-tengah rakyat agar kepercayaan terhadap institusi kerajaan ini terus kukuh,” katanya lagi.
Sementara itu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri dan berharap agar lawatan seperti ini dapat diadakan lebih kerap sebagai tanda sokongan moral kepada warga PDRM di daerah ini.
“Kami di IPD Lahad Datu komited memastikan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) berjalan lancar dan aman,” katanya.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program kerja rasmi Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE) bermula pada 16 hingga 19 Oktober 2025.
Majlis turut disusuli sesi ramah mesra dan jamuan santai bersama warga IPD Lahad Datu bagi memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan kementerian dan pegawai lapangan menjelang PRN-17.
TAMAT