sh@ Syarmillah Salleh
TUARAN, 5 Sept – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat di Muara Sungai Kampung Serusup, di sini, sejak 30 Ogos lalu, diteruskan masuk hari kelima hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34, dilaporkan tidak pulang selepas keluar ke muara sungai berkenaan seawal jam 4.30 pagi. Keluarga yang risau dengan keadaan cuaca bergelora serta angin kencang, bersama penduduk kampung melakukan pencarian sebelum menemui bot mangsa terdampar di tebing muara sungai dalam keadaan rosak.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga pada 1 September lalu sebelum menggerakkan operasi SAR.
“Operasi hari ini dimulakan pada jam 9 pagi dengan radius pencarian sejauh 15 kilometer di persisiran pantai Kampung Serusup, perairan Lok Senang dan Lok Pisok, bersama agensi penyelamat lain menggunakan bot penyelamat,” katanya.
Seramai 17 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi, selain bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.
Operasi diketuai Komander Operasi PBK I Azran bin Jull dan Komander Operasi Kanan TPgB II Mohamad Nor bin Amit.
Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi pencarian akan diteruskan dari semasa ke semasa.
TAMAT

