sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 2 Ogos 2025 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus komited memacu kemajuan industri sawit negara biarpun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya pada tahun 2000.
Pengarah Bahagian Penyelidikan Biologi dan Kelestarian MPOB, Dr. Meilina Ong Abdullah, berkata MPOB kini berdiri teguh sebagai agensi utama yang bertanggungjawab dalam penyelidikan teknologi baharu dan bimbingan kepada pekebun kecil bagi memastikan kelestarian serta daya saing industri sawit di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka MPOB Jubli Perak Stesen Penyelidikan Lahad Datu, di sini pagi tadi.
“Tema Hari Terbuka MPOB, Sawit Untuk Semua, menggambarkan ekosistem industri sawit yang inklusif, mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurutnya, penganjuran hari terbuka itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pencapaian MPOB sepanjang 25 tahun termasuk dalam bidang penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan.
Turut dilancarkan ialah buku resipi khas bertajuk “Sawit dalam Sajian: Legasi Rasa Malaysia” yang mengetengahkan pelbagai hidangan berasaskan minyak sawit tempatan.
“Melalui hari terbuka ini, kami mahu mendekatkan MPOB dengan masyarakat. Ini peluang terbaik untuk orang ramai melihat sendiri bagaimana kami menyumbang kepada kehidupan seharian,” katanya.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran, aktiviti interaktif, sesi bersama pakar serta pertandingan Sawit Run yang berlangsung pada sebelah pagi.
Dalam ucapannya, Dr. Meilina turut mengingatkan cabaran masa depan industri sawit termasuk perubahan iklim dan persaingan global.
“MPOB komited untuk terus memimpin usaha ini, menjadikan industri sawit kita bukan sahaja produktif tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, Dr. Meilina turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Sawit Run.
TAMAT

