Mizma seru pengundi Sakar terus sokong GRS pada PRN akan datang

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 1 Sept – “Sebagai anak jati Lahad Datu, saya mahu terus berkhidmat untuk rakyat. Komitmen saya tidak pernah berubah iaitu demi kepentingan rakyat.”

Itu penegasan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah ketika merasmikan Program Penyampaian Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sakar, Kampung Tanjung Paras, Pulau Sakar, hari ini.

Program itu menghimpunkan lebih 100 ahli jawatankuasa parti serta ketua PDM. Antara yang hadir ialah Ketua Penerangan PGRS Bahagian N.62 Silam, Rosly Sawal, Ketua Beliawanis PGRS N.62 Silam Marina Appehdullah dan Ketua PDM Sakar, Abdullah Mail.

Dalam ucapannya, Datuk Mizma menyeru seluruh pengundi di kawasan itu supaya bersatu hati menyokong calon GRS pada PRN ke-17 akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS sentiasa dekat dengan rakyat malah kejayaan Kampung Sharif dan Kampung Teluk Suaoin yang diiktiraf sebagai perkampungan rasmi adalah bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

“Sekiranya GRS terus diberi mandat saya akan memperjuangkan pengiktirafan serupa bagi Pulau Sakar,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Mail dalam ucapannya menyatakan bahawa penduduk Sakar menginginkan Mizma menjadi wakil rakyat kerana percaya beliau mampu membawa perubahan yang lebih baik selepas pengalaman sebelum ini menyokong Parti Warisan.

Dalam pada Itu Mizma turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga adik Zara Qairina dengan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan siasatan kes berkenaan dijalankan secara telus dan adil.

Dengan kekuatan 672 pengundi di kawasan berkenaan, beliau yakin GRS mampu menang besar pada PRN akan datang.

TAMAT