MIZMA SERU JENTERA BERSATU HATI MENANGKAN PARTI

sh@ Syamilah Salleh

LAHAD DATU: 24 Jun- Ketua Wanita GRS Zon 6B, Datuk Mizma Appehdullah menyeru semua jentera parti agar terus bersatu hati dan berusaha memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya akan datang, khususnya di Parlimen Lahad Datu.

Beliau menegaskan, perbalahan kecil dan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya harus dijadikan ruang untuk memperkukuh perpaduan dalam parti.

“Semua jentera sangat berharap dapat merealisasikan kemenangan ini. .Jangan disebabkan isu kecil kita bersengketa.

“Kita harus bersatu hati, kurangkan persengketaan dan berjalan seiring dan sejalan,” katanya.

Menurutnya, GRS tetap teguh dan tidak akan terjejas walaupun ada pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan parti.

“Samada kita tercalon atau tidak, itu tidak mengapa. Yang penting adalah GRS menang di Parlimen Lahad Datu,” tegas Mizma.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jalinan Kasih DSP Ketua Wanita GRS Sabah, bertemakan “Hala Tuju Wanita Hari Ini: Dari Prospek Politik dan Kebajikan”, yang berlangsung pada malam Isnin.

Program tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil parti komponen GRS termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dari cawangan Tungku, Sinallang, Bugaya, serta Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

TAMAT