MAYAT WANITA DITEMUI TERAPUNG DI SUNGAI NIBANG, PITAS

PITAS, 21 Ogos 2025 –Mayat Seorang wanita ditemui terapung di Sungai Kampung Nibang di sini pagi tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas menerima panggilan daripada Balai Polis Pitas pada jam 7.21 pagi bagi memohon bantuan mengeluarkan mangsa.

Komander Operasi, PBK I Gabuh Maradan berkata, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer dan tiba pada jam 8.15 pagi.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang mangsa perempuan dewasa terapung di sungai. Mangsa dibawa naik menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan pada jam 9.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Mangsa disahkan meninggal dunia namun identiti sebenar masih belum diperoleh.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

TAMAT