LAHAD DATU, 4 Okt – Lebih 5,000 penduduk sekitar daerah ini berhimpun dalam Majlis Maulid Akbar 2.0 sebagai tanda solidariti terhadap semua sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Majlis yang berlangsung di Masjid Firdaus, Kampung Sapagaya itu dipenuhi dengan alunan selawat serta ceramah agama yang disampaikan oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari, malam tadi.
Menurut Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Bennety Mohd Dzul, penganjuran program tersebut mencerminkan kesatuan ummah di Lahad Datu yang bersama-sama mendoakan keselamatan semua pejuang kemanusiaan yang kini ditahan di Israel.
“Sepanjang program ini, kita sama-sama berdoa agar semua jemaah yang ditahan akan dibebaskan dan perjalanan mereka dipermudahkan untuk pulang ke tanah air,” katanya.
Turut hadir Pengarah Program Maulid Akbar 2.0, Ustaz Mohd Yunus Abu, dan Pengerusi Masjid Sulaiman Pangeran Atok.
Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Yunus menegaskan bahawa aktiviti berselawat berupaya menyatukan umat Islam khususnya dalam menghadapi perpecahan akibat perbezaan pandangan dan fahaman politik.
“Kita berjaya melaksanakan Maulid Akbar 2.0 dengan sasaran 1.1 juta selawat bersama 1.1 juta umat.
Mudah-mudahan selawat ini menyatukan hati-hati kita agar para pemimpin dan rakyat sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT,” ujarnya.
Majlis tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan spiritual masyarakat setempat tetapi turut menjadi simbol perpaduan dan sokongan umat Islam terhadap perjuangan membebaskan Palestin.
TAMAT