Oleh: Syarmillah Salleh
SEMPORNA, 15 Sept – Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di Pulau Mataking sejak 12 September lalu diteruskan .
Operasi itu memasuki hari keempat pada hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pencarian yang diketuai oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dibahagikan kepada 12 sektor meliputi keluasan 115 batu nautika persegi (BNp).
Sehingga kini jumlah keseluruhan kawasan pencarian mencecah 312 BNp.
Antara aset Maritim Malaysia yang digerakkan termasuk bot Cenderawasih 9, Banggi 10, Banggi 9, Banggi 11, Adal 18 dan Kilat 52.
Operasi itu turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasukan penyelam TLDM.
Bagi memperluas pencarian Pengawal Pantai Filipina (Philippine Coast Guard, PCG) juga melaksanakan operasi sejak 13 September lalu memandangkan faktor arus dan angin berkemungkinan membawa mangsa ke perairan negara itu.
Mangsa dikenali sebagai Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27daripada Batalion 5 RAMD Itu masih belum ditemui sehingga pagi tadi.
“Maritim Malaysia komited memberi sokongan penuh melalui aset laut dan anggota yang digerakkan.
Harapan kami agar mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat,” kata Mohd Khairulanuar.
Beliau turut menyeru komuniti maritim di sekitar perairan Semporna agar menyalurkan maklumat sekiranya terlihat tanda-tanda berkaitan dengan menghubungi MRSC Kota Kinabalu di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
TAMAT

