TAWAU: 14 Mei – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di kawasan Batu 2 Jalan Apas, Tawau awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, warga asing berusia 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 1.50 pagi di kawasan tersebut.
Katanya, ketika tangkapan hendak dilakukan, suspek bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemukan sebarang barang salah, namun semasa pemeriksaan lanjut terhadap beg pinggang yang dipakai, anggota telah menjumpai satu paket plastik lutsinar kecil berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas seberat 0.12 gram kemudiannya suspek telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut,ujarnya.
Kes tersebut disiasat dibawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu Polis Tawau katanya akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi cegah jenayah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara dan sejahtera.
TAMAT

