LELAKI MAUT, PEMBONCENG CEDERA RINGAN DALAM KEMALANGAN DI LAHAD DATU

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 18 Sept – Seorang lelaki warga Filipina maut manakala pembonceng wanita cedera ringan selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Lahad Datu-Tungku, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.40 petang apabila sebuah lori rigid dumper jenis Nissan yang dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun berhenti secara tiba-tiba setelah seorang pejalan kaki disyaki kurang siuman berlari ke arah kenderaan itu.

“Tidak lama kemudian, sebuah motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun bersama pembonceng wanita berusia 21 tahun, kedua-duanya warga Filipina, melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Lahad Datu, Insp. Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa di talian 089-881255 atau hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

ACP Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa.

TAMAT