LELAKI CEDERA DALAM KEMALANGAN LORI DAN KERETA DI JALAN TUNKU

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 9 Sept – Seorang lelaki berusia 58 tahun cedera yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Tunku, Kampung Sabah Baru, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba yang bergegas ke lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.40 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama jentera LFRT dan EMRS digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan dan kereta.

Seorang mangsa lelaki berusia 58 tahun tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi pemandu lori berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi ditamatkan pada jam 6.06 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kemalangan.

TAMAT