KOTA MARUDU, 19 Ogos 2025 – Parti pembangkang mula tergugat apabila lebih 200 ahli dan penyokongnya beralih arah dab menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bahagian Bandau.
Penyertaan itu diterima oleh Ketua Bahagian Gagasan Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap di sini.
Penyertaan itu turut disaksikan oleh pemimpin tempatan, ketua masyarakat dan penduduk Kampung Popok.
Gelombang sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus meningkat apabila lebih 200 ahli pembangkang daripada pelbagai latar belakang politik mengumumkan penyertaan mereka ke dalam gabungan itu menerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau.
Maijol menyifatkan perkembangan tersebut sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap dasar serta pendekatan GRS, khususnya dalam pembangunan, kebajikan rakyat dan kestabilan politik negeri.
“Kami amat berbesar hati menerima penyertaan lebih 200 individu yang sebelum ini bersama pembangkang. Ini bukan sahaja menguatkan struktur jentera parti di peringkat akar umbi, malah membuktikan Gagasan Rakyat semakin diterima sebagai wadah perjuangan baharu rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menambah, penyertaan besar-besaran itu adalah hasil kerja keras pasukan Gagasan Rakyat DUN Bandau yang sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat serta menawarkan penyelesaian realistik.
Dalam majlis itu, wakil kumpulan ahli baharu menyerahkan borang keahlian secara simbolik kepada pimpinan Gagasan Rakyat, disusuli dengan sesi bergambar dan jamuan rakyat yang turut mempertemukan ahli lama serta baharu.
Seorang ahli baharu, Datu Abdul Zaman bin Datu Duraman, berkata keputusan mereka menyertai GRS dibuat selepas melihat kesungguhan parti memperjuangkan isu-isu rakyat di peringkat tempatan.
“Kami mula melihat hasil kerja mereka. Infrastruktur kampung semakin baik, bantuan sampai kepada golongan sasar dan yang paling penting, pemimpin-pemimpin GRS mudah didekati,” ujarnya.
Majlis selama hampir dua jam itu turut menampilkan sesi dialog antara pimpinan dan penduduk kampung bagi membincangkan isu-isu setempat termasuk kemudahan asas, jalan raya dan peluang ekonomi.
Penyertaan lebih 200 ahli pembangkang ke dalam Gagasan Rakyat ini dilihat sebagai manifestasi perubahan landskap politik di Sabah, khususnya di DUN Bandau yang sebelum ini menjadi medan persaingan hangat antara parti-parti utama.
TAMAT