LAHAD DATU, 6 Dis — Latihan dan Seminar Medical First Responder (MFR) melibatkan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) dan Civil Military Support Element (CSME) Kedutaan Amerika Syarikat berjaya dilaksanakan dengan jayanya sekaligus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat.
Majlis Penutupan seminar berkenaan disempurnakan oleh Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin yang mewakili Komander ESSCOM bersama Penasihat Pertahanan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Captain Pasit Somboonpakron dari Tentera Laut Amerika Syarikat dalam satu acara di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4, di sini.
Seminar dan latihan tersebut berlangsung dari 1 hingga 5 Disember 2025, melibatkan 33 peserta daripada ESSCOM, Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Hospital Lahad Datu, St. John Ambulans Malaysia serta 11 fasilitator daripada SOFLE dan CSME.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos dalam ucapannya menegaskan kepentingan latihan tersebut adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan, pengetahuan dan pengalaman agensi keselamatan serta perubatan dalam mengurus risiko kecemasan melibatkan bencana alam dan operasi bantuan kemanusiaan secara teori dan praktikal.
Menurutnya,latihan berkenaan mengukuhkan lagi penyelarasan antara ESSCOM dengan agensi keselamatan, penguat kuasa, perubatan serta badan bukan berkanun yang beroperasi di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Penganjuran latihan ini juga dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Syarikat.
