LAPAN PASUKAN SERTAI LIGA BOLA SEPAK SEMPENA MERDEKA

Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian (tengah) bersama hadirin dan antara pasukan yang bertanding dan piala liga bola sepak itu.

SANDAKAN -24 Ogos- Sebanyak lapan pasukan dibawah seliaan Kelab Jurulatih Bola Sepak Sandakan menyertai Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun Sandakan Coaches sempena Hari Merdeka bagi merebut Piala Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian di Padang Bola Sintetik Kompleks Sukan Sandakan pada Ahad.

Dalam ucapan perasmian beliau, Anna Bell menyambut baik usaha pihak penganjur, Kelab Jurulatih Bola Sepak Sandakan yang menyemarakkan lagi sambutan Hari Merdeka pada tahun ini melalui sukan seumpama.

“Ini yang kita harapkan terhadap belia masa kini iaitu sihat dan cergas selain dalam masa yang sama menyemai rasa cinta pada negara yang kita cintai ini,” ujarnya.

“Melalui sukan seperti bola sepak, belia juga dapat mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi dan saling berdaya saing,” tambahnya.

Beliau juga menyokong penganjuran program seumpama pada masa akan datang yang memberi manfaat kepada belia setempat untuk beriadah dan bersukan serta mengembangkan lagi bakat sukan bola sepak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anna Bell berkata, kerajaan juga sentiasa memastikan anak muda di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan yang terbaik.

Ini termasuk dengan pemberian pelbagai bentuk bantuan pendidikan di sekolah serta pengajian tinggi.

Dalam pada itu, pihaknya bersama pimpinan yang lain juga menyatakan solidariti kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan berharap kes itu dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Liga itu yang juga Setiausaha Kelab Jurulatih
Bola Sepak Sandakan, Azman Aprin, berkata, lapan pasukan dibawah seliaan kelab itu yang bertanding masing-masing dari Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Telupid.

Jelasnya, ia juga mengasah kemahiran kesemua pemain dalam pasukan yang bertanding selain menghayati nilai perjuangan serta makna sebuah kemerdekaan.

Tamat