LAHAD DATU, 26 Okt – Jabatan Penerangan (JaPen) dan kesemua sembilan Komuniti MADANI di daerah ini digesa untuk terus memainkan peranan proaktif sebagai “mata, telinga dan lidah” kerajaan dalam membantu menyebarkan maklumat sahih serta melaporkan isu semasa demi kepentingan rakyat.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty, berkata Program Komuniti MADANI merupakan platform penting yang bertujuan memberi pencerahan kepada masyarakat berhubung pelbagai isu semasa.
Menurutnya, pelaksanaan program kali ini yang memfokuskan penjelasan mengenai Belanjawan MADANI serta hebahan berkaitan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi MADANI (BUDI95) membuktikan betapa pentingnya peranan JaPen dan Komuniti MADANI dalam memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan terkini.
“Selain memberi penjelasan peranan komuniti juga penting untuk memastikan tiada pihak tercicir daripada menerima hak dan bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Komuniti MADANI ‘Cerita Dulu Bah’ Peringkat Daerah Lahad Datu di Kampung Sabah Baru 2, di sini, pada Sabtu.
Firuz turut menegaskan agar Komuniti MADANI menjadi ‘jambatan’ penghubung dasar kerajaan ke peringkat akar umbi sekali gus menjadi ejen penyampai maklumat yang berwibawa di lapangan.
“Komuniti MADANI ialah orang pertama di lapangan bantu kami laporkan isu, masalah infrastruktur, sosial atau keluhan rakyat terus kepada Pejabat Daerah atau agensi berkaitan.
“Jadilah ejen penyampai maklumat yang berwibawa…bawa pulang maklumat tepat dari program ini dan bantu jelaskan kepada jiran serta komuniti anda,” serunya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Azman Sipan dalam ucapan alu-aluannya berkata, peranan kesemua sembilan Komuniti MADANI yang ditubuhkan di Lahad Datu amat signifikan dalam membantu JaPen sebagai penyampai dasar kerajaan serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan di peringkat akar umbi.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 250 orang penduduk dan diserikan dengan penyerahan sumbangan beras kepada penduduk kampung yang layak serta persembahan hiburan bermaklumat oleh artis Pentarama JaPen Sabah.
Turut hadir Ketua Kampung merangkap Ketua Komuniti MADANI Kampung Sabah Baru 2, Mohammad Hj. Otuh Salleh, Ketua Komuniti MADANI Kampung Bugis, Al Aziz Tamrin dan Ketua Komuniti MADANI Kampung Cocos, Romansa Lamin II.
Dalam pada itu Romansa turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi pihak komuniti sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program tersebut.
TAMAT

