sh@ editor
KUDAT, 23 Ogos – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 mencatar sejarah apabila buat julung kalinya merentasi lautan menuju ke Pulau Banggi, Kudat.
Konvoi itu melibatkan 20 agensi dengan penyertaan 102 orang.
Program itu diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan W.P. Labuan, baru-baru ini.
Sebanyak 10 aset laut digerakkan hasil koordinasi bersama Pejabat Daerah Kudat, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Jabatan Perikanan, Taman-Taman Sabah serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Haji Nor Hisham bin Ibrahim bersama Ketua Konvoi KMJG Sabah, Jainisah Md Nor, yang turut berkesempatan menyantuni penduduk pulau.
Antara pengisian utama termasuk penyerahan 100 jaket keselamatan sumbangan Ketua Menteri Sabah melalui Yayasan Kebajikan Sabah.
Selain itu agihan 200 beg dan 150 kotak Kembara Maritim hasil tajaan bersama “Lebih Baik Cegah” Squad Antidadah dengan kerjasama Maritim Negeri Sabah & W.P. Labuan.
Semangat patriotisme turut dizahirkan melalui inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) dengan pengedaran lebih 800 Jalur Gemilang kepada penduduk setempat, sekali gus membangkitkan suasana kemerdekaan di pulau berkenaan.
TAMAT

