LAHAD DATU, 20 Okt –Lebih 20 ribu umat Islam membanjiri Kompleks Sukan Lahad Datu malam tadi bagi menghadiri program Ziarah Dakwah Pantai Timur bersama Prof. Dr. Ustaz Haji Abdul Somad Batubara.
Program di Masjid Ar-Raudah di sini dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Daerah Lahad Datu serta Masjid Ar-Raudah Lahad Datu.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua USIA Sabah, Haji Safawi bin Haji Ahmad; Timbalan Yang Dipertua USIA Sabah, Datuk Haji Abdul Hakim bin Ghulam Hassan; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Mohammad Yusof bin Haji Apdal serta barisan pemimpin agama dan masyarakat termasuk Datuk Ustaz Haji Malai Ali bin Haji Malai Ahmad, Awang Juri bin Awang Tahir, Firuz Idzualdeen @ Benetty bin Mohd Dzul, dan ACP Haji Dzul Baharin bin Haji Ismail.
Pengerusi Penganjur Timbalan Dipertua USIA Sabah Datuk Haji Abdul Hakim berkata, penganjuran program Ziarah Dakwah Pantai Timur bukan hanya program ceramah semata tetapi gerakan kebangkitan rohani yang menyatukan hati dan jiwa umat Islam.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran program itu mencerminkan kekuatan perpaduan umat Islam di Sabah dan semangat kebersamaan dalam mengangkat dakwah sebagai teras pembangunan ummah.
“Dakwah bukan sekadar seruan tetapi usaha memperteguh aqidah dan akhlak dalam diri setiap individu.
“Di Lahad Datu, usaha ini bertujuan membina generasi muda sebagai pewaris legasi dakwah dengan penuh komitmen,” katanya.
Beliau turut menyeru agar ibu bapa memainkan peranan aktif memupuk ajaran Islam dalam kalangan anak-anak selain menjadikan Lahad Datu sebagai model daerah yang cemerlang dalam penganjuran program keagamaan dan penyatuan ummah.
Sementara itu sesi ceramah oleh Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad menyentuh mengenai tajuk Perpaduan Umat Islam yang merangkumi lima asas utama iaitu tauhid, kalimah syahadah, hati, redha dan doa.
Menurut beliau, umat Islam di seluruh dunia bersatu atas kalimah syahadah yang sama dan setiap hamba wajib mendidik anak-anak dengan ilmu tauhid agar mampu membimbing ibu bapa dengan kalimah Allah di penghujung hayat.
“Umat Islam mesti berzikir dan mengingati Allah dalam setiap keadaan samada kaya atau miskin.
“Bersihkan hati daripada hasad dengki dan sentiasa redha dengan ketentuan-Nya kerana yang kekal hanyalah amal dan sedekah,” katanya.
Ustaz Abdul Somad turut mengingatkan agar umat Islam memakmurkan masjid dengan solat berjemaah dan mendidik anak-anak agar mencintai rumah Allah sejak kecil kerana mereka bakal menjadi pemimpin berjiwa Islam di masa hadapan.
Sepanjang program, suasana diserikan dengan laungan selawat dan zikir oleh ribuan hadirin yang hadir seawal petang.
TAMAT