LAHAD DATU, 18 Okt —Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh benteng keselamatan perairan negara apabila tiga aset baharu termasuk dua bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bernilai RM4.4 juta diserahkan kepada pasukan keselamatan bagi meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan strategik pantai timur Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shaharul Anuar Abdul Rahman, berkata dua bot diserahkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau manakala sebuah lagi kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi tujuan pengoperasian dan rondaan di kawasan strategik yang selaras dengan fasa kedua Strategi Kawalan Operasi Perairan (SKOP).
Penyerahan dua bot RHIB kepada PGA dan sebuah kepada ESSCOM ini mencatat sejarah tersendiri apabila KDN melengkapkan lagi aset keselamatan bagi tujuan pengoperasian dan perondaan di kawasan strategik yang sejajar dengan fasa kedua SKOP iaitu pengukuhan keselamatan ESSZONE,” katanya.
Beliau berkata, penambahan aset baharu itu akan terus meningkatkan pengupayaan operasi dan kesiapsiagaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi, selain memastikan kawalan lebih efektif di perairan timur Sabah.
“Kehadiran aset keselamatan ini amat penting untuk memperkukuh rondaan di kawasan berisiko tinggi. Kos keseluruhan projek ini sekitar RM4.4 juta dan saya ucapkan tahniah kepada semua pihak kerana berjaya menyiapkannya lebih awal daripada jadual asal.
Yang penting penyerahan bot ini meningkatkan keupayaan rondaan pasukan keselamatan di lapangan dan memberi keyakinan baharu kepada masyarakat serta pelabur terhadap tahap keselamatan di kawasan ini,” ujarnya.
Datuk Shaharul turut menjelaskan KDN akan terus menilai keperluan semasa dan memperkukuh kerjasama antara agensi keselamatan bagi memastikan aset sedia ada digunakan secara optimum termasuk dalam menghadapi ancaman baharu di laut.
“Kita sentiasa bersiap siaga. Pasukan di bawah SKOP ini berperanan penting bukan sahaja untuk pengawasan keselamatan tetapi juga dalam melaksanakan operasi penyelamatan sekiranya berlaku kecemasan di laut.
KDN komited memastikan setiap pasukan keselamatan dilengkapi aset, latihan dan keupayaan teknikal bagi mengekalkan tahap kesiapsiagaan tertinggi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut meneliti cadangan penambahan aset baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh keselamatan maritim negara.
“Kita sedang berdepan cabaran baharu termasuk ancaman jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
Justeru, penambahan aset seperti ini akan diteruskan bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi keselamatan di bawah KDN termasuk PGA, Pasukan Polis Marin (PPM) dan ESSCOM atas disiplin serta komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.
TAMAT