TAWAU, 7 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya merampas sebuah bot kargo yang membawa 54 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit.
Rampasan itu dilakukan dalam satu operasi di kawasan pesisir pantai Batu 3, di sini awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejayaan itu hasil rondaan rutin pasukan Maritim Malaysia menerusi Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris sekitar jam 5.30 pagi.
“Pasukan peronda mengesan pergerakan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari pesisir pantai Batu 3 menghala ke sempadan perairan.
“Namun, apabila menyedari kehadiran bot peronda Maritim, juragan bot bertindak nekad berpatah balik dengan kelajuan tinggi ke pesisir pantai sebelum melarikan diri dan meninggalkan bot bersama muatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan terhadap bot kargo itu menemukan 54 tong gas LPG berisi penuh tanpa sebarang dokumen sah. Usaha mengesan juragan terbabit di sekitar lokasi gagal menemui sebarang petunjuk.
Ariffin berkata, bot bersama enjin dan semua muatan dirampas dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM52,000.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan di jeti-jeti haram yang dikenal pasti digunakan sindiket penyeludupan bagi mengekang aktiviti keluar masuk barang kawalan ke negara jiran,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jenayah maritim di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau (089-752116) atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
TAMAT