BEAUFORT (24 OKTOBER): Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah dengan Pakatan Harapan tidak mengganggu jentera pilihan raya.
Sebaliknya ia menguatkan lagi keyakinan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, kata Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Klias, Haji Mohd Jali Nordin.
“Jentera pilihan raya parti komponen GRS dan PH mempunyai program masing-masing tetapi tidak akan berlaku pertindihan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, setiap parti komponen GRS mahupun PH memiliki ikatan persefahaman yang erat dan saling menghormati.
Apa juga program yang dilaksanakan, katanya, sudah tentu matlamatnya untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat.
Katanya, sememangnya jentera GRS khususnya Gagasan Klias sudah bergerak sebelum kerjasama GRS+PH diumum secara rasmi.
“Jentera kita masih bergerak begitu juga jentera parti komponen GRS dan PH …kita sentiasa dan terus mendekati serta menyantuni rakyat,” katanya lagi.
Mohd Jali berkata, jika ada masalah yang wujud, ianya diselesaikan dengan baik.
“Setiap masalah dibincang dengan baik dan saya yakin semua jentera GRS+PH pasti diperhebat sebaik penamaan calon selesai.
” Tiada masalah dalam perkara ini kerana kita telahpun bersedia,” katanya lagi.

