SH@Syarmila Salleh
KOTA KINABALU (3 JUN): Kerajaan digesa agar tidak mengabaikan isu jalan rosak di Kinabatangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata banyak jalan rosak di Kinabatangan yang amat perlu diperbaiki segera.
“Kerajaan ada memperbaiki jalan-jalan rosak di tempat lain tetapi tidak di Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya agak menghairankan kenapa tiada sebarang tanda bahawa kerja-kerja pembaikan atau penyelenggaraan akan dilakukan di Kinabatangan.
Menurutnya jalan raya seperti di Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu yang melalui Kinabatangan banyak yang telah mengalami kerosakan dan perlu segera diperbaiki.
“Sehingga kini, tidak kelihatan sebarang tanda bahawa kerja-kerja pembaikan atau penyelenggaraan akan dilakukan di kawasan itu” .
“Jalan-jalan di sini mengalami kerosakan yang teruk, berlubang, tidak rata dan amat membahayakan pengguna, terutamanya kenderaan kecil dan penunggang motosikal,” tambahnya.
Kata Bung, situasi itu menimbulkan persoalan besar apakah kawasan ini sengaja dipinggirkan hanya kerana perbezaan fahaman politik?
Sekiranya benar katanya, maka ia adalah satu bentuk ketidakadilan yang tidak boleh diterima.
Katanya, Infrastruktur asas seperti jalan raya tidak sepatutnya dijadikan alat untuk bermain politik.
Keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan utama, tanpa mengira siapa wakil rakyat di kawasan tersebut
Tamat