Imigresen serbu lima penempatan warga asing di Semporna

Oleh: Jalie Mohamad

SEMPORNA : 9 April – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah telah menggempur lima penempatan yang didiami oleh warga asing di sekitar Semporna pada Ops Penguatkuasaan pada pagi tadi.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk SH Siti Saleha Habeb Yussof berkata serbuan bermula lapan malam sehingga sembilan pagi Rabu telah melibatkan anggota pasukan itu dari daerah Semporna, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama 3 hari. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah bergerak ke penempatan warga asing tersebut dan telah memeriksa seramai 173 individu yang lerdiri daripada warganegara asing dan termasuk warganegara tempatan,”katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seramai 61 warganegara asing yang terdiri daripada 33 lelaki, 9 perempuan, 3 kanak-kanak lelaki dan 6 kanak-kanak perempuan warganegara Filipina, 2 lelaki, 1 perempuan dan 1 kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia 3 lelaki warganegara Pakistan dan 4 lelaki warganegani China

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta di bawah Peraturan 38(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua warganegara asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Tawau, Sabah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI.

Tamat