SANDAKAN:13 Julai – Seorang penduduk Rancangan Rumah Murah Sim-Sim terkejut apabila terlihat seekor anak buaya bersembunyi di bawah kolong rumahnya.
Menurut Kapt. (PA) Sulaiman Salama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 6.47 petang Ahad.
Seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi menggunakan kenderaan operasi jenis revo dan ambulan. Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.12 malam dan berjaya menangkap buaya seberat 15kg itu dalam tempoh 25 minit.
Proses tangkapan dilakukan menggunakan peralatan operasi khas. Mata buaya ditutup dengan selimut, manakala keseluruhan tubuhnya diikat dengan tali sebagai langkah keselamatan.
Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 8.19 malam. Buaya tersebut akan diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kehadiran haiwan liar kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

