FERI KHAS PULAU BUM-BUM LEGAKAN 30,000 PENDUDUK

sh@ Syarmillah Salleh

SEMPORNA, 30 Julai 2025 – Impian lebih 30,000 penduduk Pulau Bum-Bum bakal tertunai apabila beroperasi perkhidmatan feri ke pulau itu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, perkhidmatan itu kini di fasa akhir persiapan sebelum dilancarkan sebagai alternatif sementara menunggu jambatan tetap direalisasikan.

“Di bawah pimpinan kerajaan GRS dan Ketua Menteri Sabah, perkhidmatan feri ini diperkenalkan bagi kemudahan dan keselamatan penduduk,” katanya selepas lawatan tapak bersama beberapa agensi hari ini.

Selama ini, ketiadaan laluan tetap memaksa penduduk bergantung kepada bot kecil, termasuk untuk membawa barangan berat dan kenderaan, yang berisiko kepada keselamatan.

Penduduk tempatan menyambut baik pengumuman itu. “Feri lebih selamat berbanding bot kecil,” kata Rosdi, seorang pekerja swasta.

Sementara itu, peniaga Mahamod Bungsu berkata, projek jambatan yang dijanjikan sejak lebih 10 tahun lalu masih belum menjadi kenyataan. “Sekurang-kurangnya dengan feri, beban kami berkurang,” ujarnya.

Lawatan tapak itu turut disertai wakil Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, JKR Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Daerah Semporna serta beberapa agensi berkaitan.

Untuk rekod, jambatan sepanjang 1.4 kilometer dengan anggaran kos RM430 juta itu pernah dicadangkan sejak 2012.

Pada 2022, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan perkhidmatan feri akan diperkenalkan terlebih dahulu bagi memenuhi keperluan penduduk.

TAMAT