ESSCOM tahan dua lelaki, rampas minyak sawit mentah RM476,000

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 15 Ogos – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya melumpuhkan aktiviti penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) bernilai RM476,000.

Kejayaan itu dicapai menerusi Operasi Bersepadu di dua lokasi berasingan, semalam.

Operasi itu dijalankan di sekitar Jalan POIC dan sebuah ladang persendirian di Jalan Segama Lama hasil maklumat awam yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata, pihaknya turut merampas 74 metrik tan minyak sawit mentah, dua buah lori serta pelbagai peralatan digunakan untuk mengepam minyak.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan ESSCOM membanteras jenayah di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), khususnya penyeludupan barang kawalan, penyelewengan sumber hasil negara dan aktiviti haram lain yang menjejaskan keselamatan serta ekonomi tempatan.

Menurutnya, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM yang memperkasa operasi sedia ada bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu di daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang jenayah rentas sempadan. Masyarakat setempat diseru menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau Whatsapp 011-63311072,” katanya.

TAMAT