ENAM CEDERA TERMASUK KANAK-KANAK, HILUX TERBABAS DI JALAN LAHAD DATU –SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 31 Mac – Enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sendiri dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Lahad Datu–Sandakan (Sandau), pagi kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi kira-kira jam 8.42 pagi.

Ketua Balai BBP Lahad Datu, SumSoa Bin Rashid, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Enam mangsa terlibat terdiri daripada empat lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak, semuanya mengalami kecederaan.

Bagaimanapun tiada mangsa tersepit dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota bomba itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan KKM.

Tambah beliau operasi turut berdepan kekangan komunikasi berikutan ketiadaan liputan sistem Government Integrated Radio Network (GIRN) di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.26 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko bahaya.

Share This Article