Oleh: Syarmilah Salleh
KUDAT, 16 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan dua buah vesel nelayan asing Vietnam (VNAV) yang menceroboh perairan negara di Barat Laut Pulau Straggler, semalam.
Dalam operasi bersepadu itu, seramai 11 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 48 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka ditahan bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua bot berkenaan diiring ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat yang mengambil masa hampir 12 jam perjalanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pencerobohan nelayan asing yang menjejaskan sumber perikanan negara serta menimbulkan kerugian besar kepada komuniti nelayan tempatan.
Beliau turut menyeru orang awam, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
TAMAT

