OLEH: SYARMILLAH SALLEH
KENINGAU: 16 Mei Dua buah rumah di Kampung Belingingi, Keningau dihanyutkan arus deras selepas Sungai Bariawa melimpah ke kawasan kampung berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari ini.
Bagaimanapun,tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Berdasarkan kepada laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Keningau, skuad pemantauan banjir dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan ke lokasi sekitar pukul 5.32 petang bagi meninjau keadaan semasa.
Setibanya di kampung berkenaan, didapati tebing sungai runtuh dan limpahan air sungai telah menyebabkan dua rumah penduduk hanyut dibawa arus.
Mangsa yang terlibat telah berpindah sementara ke rumah jiran berdekatan.
Tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini, dan jumlah sebenar mangsa sedang dalam proses pengumpulan oleh pihak berkuasa.
Bacaan semasa paras air Sungai Pegalan direkodkan pada 240.13 meter, iaitu berada pada tahap amaran (paras bahaya ditetapkan pada 241.50 meter).
Sungai Sook pula kekal dalam paras normal dengan bacaan terkini 255.48 meter.
Keadaan cuaca di lokasi dilaporkan mendung, namun tiada jalan dinaiki air atau kampung yang terputus hubungan setakat ini.
Peralatan keselamatan turut dibawa termasuk jaket keselamatan, pelampung dan topi keledar.
Tamat