DUA LELAKI DITAHAN MEMILIKI SYABU DI KG. BAKAU & KG. SAPADULANG

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 13 Ogos 2025 – Polis menahan dua lelaki dalam operasi berasingan di sini hari ini selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Dalam kejadian pertama, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang menjalankan Op Tapis menahan seorang lelaki warga Filipina berumur 20 tahun di Kampung Bakau.

Pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.30 gram, manakala ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Kampung Sapadulang, Jalan Segama, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun. Pemeriksaan di bilik suspek menemui satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.07 gram bersama peralatan menghisap dadah. Ujian saringan awal turut mengesahkan suspek positif dadah, selain semakan rekod mendapati dia mempunyai enam kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail, berkata kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan polis membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

TAMAT