sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU (21 JULAI): Dana yang diperolehi pada Kejohanan Golf Kaamatan yang berakhir Ahad lalu digunakan bagi membeli mesin hemodialisis untuk Hospital Lahad Datu.
Kejohanan 19-20 Julai itu di Lahad Datu Golf & Country Club itu disertai 160 orang.

Penyertaan itu termasuklah daripada Keningau, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu selain mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Victor Sanjos, berkata kejohanan bukan sekadar acara tahunan tetapi satu platform menyatukan masyarakat sambil menyumbang kepada kebajikan.
“Penganjuran pertandingan Golf ini bukan sekadar bermain golf, tetapi menjadikannya sebagai medan membantu rakyat.
“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membeli mesin hemodialisis bagi pesakit yang amat memerlukan, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya selepas majlis penutup kejohanan,pada Ahad.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada peserta, penaja dan penyumbang yang memberikan komitmen tinggi termasuk dalam bentuk wang tunai, tenaga serta sokongan moral.
Katanya,sambutan luar biasa ini membuktikan semangat gotong-royong dan prihatin dalam kalangan masyarakat masih kukuh.
Victor turut mengumumkan rancangan untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan yang berteraskan kesihatan, kebajikan dan kebudayaan.
“Kita main golf untuk kesihatan, persahabatan dan harapan. Harapan kepada mereka yang sakit juga harapan untuk Sabah yang lebih sihat dan bersatu,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce and Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening, berkata kejohanan itu menjadi titik permulaan kepada inisiatif kebajikan jangka panjang.
“Mesin hemodialisis di Lahad Datu masih tidak mencukupi. Program ini adalah permulaan untuk membantu kerajaan menambah fasiliti kesihatan penting,” katanya.
Menurutnya, kejayaan penganjuran membuktikan sukan boleh menjadi platform berkesan untuk menyemai semangat perpaduan dan keprihatinan komuniti.
Katanya, ramai peserta tampil menyumbang secara spontan sepanjang kejohanan. Ia membuktikan kekuatan sebenar masyarakat Sabah.
Majlis penutup turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan etnik tempatan seperti Kadazandusun, Kokos dan Dusun Begahak, sejajar dengan semangat sambutan Pesta Kaamatan.
TAMAT

