OLEH: ALEEYA VILLIAMON
SANDAKAN: Program Cakna Pemulihan: Celik Chef Pemulihan Khas 2025 tingkat kreativiti dan inovasi di kalangan guru pemulihan khas di daerah Sandakan.
Program yang berlangsung di Dapur PPKI, SMK Muhibbah, adalah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan melalui Unit Pemulihan Khas, Sektor Pembelajaran, dengan kerjasama Majlis Guru Pemulihan Khas.
Seramai 11 murid Pemulihan Khas Tahun 6 dari 8 buah sekolah rendah di daerah ini. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan guru Pemulihan Khas, selain menyokong matlamat untuk mensifarkan murid Pemulihan Khas Tahun 6 melalui pendekatan pedagogi yang berbeza.
Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Suhaimi bin Othman, berkata melalui aktiviti memasak “Biskut Bijan Susu”, para peserta berpeluang mengasah kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Program ini turut memberi ruang kepada guru-guru untuk menerapkan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dalam pendekatan Pemulihan Khas.
“Dengan adanya program inovatif seperti Celik Chef, murid-murid yang dahulunya kurang keyakinan kini berani tampil dan menguasai kemahiran asas dengan lebih baik. Ini adalah bukti bahawa pendekatan kreatif mampu memberikan impak besar dalam dunia pendidikan,” ujar beliau.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada warga MGPK Sandakan, serta sumbangan dana daripada guru-guru dan inisiatif Unit Pemulihan Khas PPD Sandakan sendiri.
PPD Sandakan optimis bahawa pendekatan sebegini akan terus diperluaskan pada masa akan datang bagi memperkasa pendidikan Pemulihan Khas di daerah sandakan.
Tamat

