LAHAD DATU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama bukan kerusi rundingan terbuka.
Sekretariat Penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN Segama, Firdaus Nuljari berkata ia bukan seperti yang cuba digambarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, fakta politik dan keputusan pilihan raya terdahulu jelas membuktikan bahawa Segama merupakan kubu kuat BN dan bukannya kerusi ‘cuba-jaya’ bagi mana-mana parti lain.
”Mengikut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen P.188 Lahad Datu, calon Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 3,640 undi di kawasan DU Segama.
“Sebaliknya, calon BN menerima 22,740 undi di peringkat Parlimen Lahad Datu berbanding PH yang hanya meraih 8,289 undi, ini menunjukkan jurang hampir tiga kali ganda perbezaan,” jelasnya.
Menurut Firdaus, data ini jelas menunjukkan bahawa kekuatan jentera dan sokongan rakyat terhadap BN-UMNO di Segama jauh mengatasi mana-mana parti lain.
Dalam kenyataannya, Firdaus turut menjelaskan bahawa penyandang DU N.61 Segama, Datuk Dr. Mohamaddin Ketapi, telah menyertai BN sebelum pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, dan sebelum PKR serta PH menyertai kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, penyertaan beliau bukan tindakan oportunis, sebaliknya keputusan politik yang sah dan mendahului perkembangan politik nasional.
Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan dakwaan dalam kenyataan yang dibuat oleh salah seorang Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri baru-baru ini bahawa Mohamaddin pernah menyertai GRS.
“Segala dakwaan bahawa DU Segama merupakan kerusi terbuka untuk rundingan adalah tidak berasas sama sekali.
“BN memiliki kekuatan akar umbi yang kukuh, jentera yang tersusun, serta kepercayaan rakyat yang telah terbukti melalui keputusan pilihan raya,” tegasnya.
Firdaus juga menegaskan komitmen parti itu untuk terus mempertahankan DU Segama sebagai kerusi sah milik BN berlandaskan mandat rakyat dan fakta politik, bukan retorik atau politik bermusim.
Tamat

