BINTANG SANDAKANfm RUANG BERINTERAKSI MASYARAKAT DENGAN PERSONALITI

YB Vivian bersama pegawai RTM dan peserta Bintang Sandakanfm

sh@ Aleeya Villiamon

SANDAKAN – Enam finalis yang berentap merebut gelaran juara Bintang SANDAKANfm 2025 pada Pentas Akhir yang berlangsung bermula pukul 8:00 malam di Centre Court Sejati Walk, semalam.

Enam finalis tersebut terdiri daripada Hafiz Benjamin dan Nabila Sutrisno dari Sandakan, Mohd Casmir Amar Mohd Ali dari Telupid, Nurul Aisyah Benedict, Asratul Asah dan Mohd Hanafi Basri masing-masing dari Kinabatangan. Mereka merupakan antara 103 yang hadir menyertai uji bakat sebelum ke peringkat saringan dan pentas akhir.

Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali dalam satu kenyataan media memberitahu Juara Bintang SANDAKANfm akan membawa pulang hadiah wang tunai, RM5,000.00, Naib Juara RM3,000.00, Ketiga RM2,000.00, trofi dan sijil, manakala bagi kategori Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan Peserta Paling Popular masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000.00.

Penganjuran Bintang SANDAKANfm tahun ini sekali lagi mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Sabah selaku rakan strategik.

Bintang SANDAKANfm merupakan program tonggak stesen SANDAKANfm yang dianjurkan secara dwitahunan. Diperkenalkan pada tahun 2001 sebagai ‘Bintang Karaoke’ program ini terus menjadi jenama unggul sebagai sebuah program pencarian bakat berprestij di Sandakan. Pada tahun 2005, program ini dijenamakan semula sebagai Bintang SANDAKANfm.

Program ini berkonsepkan pertandingan nyanyian secara solo dan paduan suara ‘battle’ dengan diiringi kumpulan kugiran ‘live band’.

Penganjuran Bintang SANDAKANfm merupakan platform untuk mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan pendengar SANDAKANfm untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Program berbentuk Radio RTM Di Lokasi (RDL) ini juga bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik RTM dengan pemimpin tempatan, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sekali gus berupaya memperkukuh jenama RTM sebagai sebuah media rasmi kerajaan yang berkredibiliti dalam menyampaikan mesej kerajaan.

Penganjuran Bintang SANDAKANfm ini seterusnya membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan lebih dekat dengan personaliti RTM

disamping memperkenal dan mempromosi stesen SANDAKANfm kepada masyarakat khususnya generasi muda menerusi program turun padang berkonsepkan informasi dan hiburan.

Pentas Akhir Bintang SANDAKANfm telah disiarkan secara langsung menerusi stesen radio SANDAKANfm (90.1MHz) dan penstriman langsung “live” di laman Facebook rasmi SANDAKANfm dan RTM Sabah bermula pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam selain turut disiarkan di RTMKlik.

Lebih seribu orang hadir memeriahkan Bintang SANDAKANfm 2025. Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Tamat