BERI TUMPUAN SEPENUHNYA TERHADAP PENDIDIKAN: ISNIN

BEAUFORT (22 SEPTEMBER): Golongan pelajar dinasihatkan agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Haji Aliasnih berkata golongan tersebut khususnya di pusat pengajian tinggi perlu mengelak daripada terpengaruh dengan usaha pihak tertentu yang boleh menjejaskan pendidikan mereka.

“Hanya pendidikan yang mampu mengubah sesebuah keluarga tetapi perlu beri perhatian serius …jangan persia-siakan peluang yang ada,” katanya kepada media di sini hari ini.

Isnin sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 36 pelajar dalam DUN Klias melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Adalah penting katanya, bagi setiap pelajar mengutamakan disiplin yang tinggi dan komited terhadap pelajaran masing-masing.

Mengenai cadangan pendidikan percuma oleh kerajaan, Isnin berkata cadangan itu membuka lebih banyak peluang untuk generasi ketika ini dan masa depan untuk memperolehi pendidikan yang tertinggi.

Katanya cadangan itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.

” Pelbagai bantuan telah diberikan dan disediakan oleh kerajaan ketika ini dan sudah tentu cadangan pendidikan percuma itu membuka luas peluang terhadap pendidikan,” katanya lagi.

Mengenai majlis itu, Isin yang juga wakil rakyat Klias berkata bantuan itu seumpama hadiah kepada pelajar yang berjaya ke institut pengajian tinggi.

” Kita sudah lama melaksanakan program seumpama ini …bantuan yang diberikan diharap membantu mereka,” katanya lagi.

Tamat