Oleh: Syarmilah Salleh
BEAUFORT, 10 Sept – Seramai 196 mangsa daripada 62 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir di daerah ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan, mangsa terlibat melibatkan penduduk dari lapan kampung yang terjejas banjir.
“Jumlah mangsa di PPS Selagon didapati meningkat berbanding semalam, dengan 36 lelaki dewasa, 63 perempuan dewasa, 51 kanak-kanak lelaki dan 46 kanak-kanak perempuan yang kini berlindung,” katanya.
PPS Selagon dibuka sejak jam 9 pagi, 9 September lalu, dan masih beroperasi sehingga kini bagi menempatkan keluarga yang berpindah ekoran kediaman mereka ditenggelami air.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat bencana berkenaan.
JPBN Sabah memaklumkan pihak berkuasa bersama agensi penyelamat terus memantau situasi semasa banjir di Beaufort dan bersiap sedia sekiranya jumlah mangsa meningkat.
TAMAT