JPDS kutip hasil lebih RM40 juta pada 2025

sabahheadlines
4 Min Read

LABUAN, 10 Jan – Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) mencatat prestasi membanggakan apabila berjaya mengutip hasil melebihi RM40 juta sepanjang tahun 2025, sekali gus merekodkan peningkatan berbanding lebih RM39 juta pada tahun sebelumnya, hasil peranan berterusan jabatan itu sebagai badan kawal selia utama lalu lintas air dan pengurusan kemudahan jeti di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata JPDS adalah antara jabatan dan agensi yang kini diletakkan di bawah kementeriannya susulan penyelarasan portfolio pengangkutan oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, JPDS memainkan peranan penting dalam mengawal selia lalu lintas air serta pembangunan dan penyelenggaraan jeti awam, sekali gus menjadi penyumbang signifikan kepada hasil Kerajaan Negeri Sabah.

“JPDS bertanggungjawab mengawal selia lalu lintas air di kawasan had pelabuhan, dermaga, sungai, pantai dan kawasan pasang surut. Jabatan ini juga menyediakan serta menyelenggara kemudahan seperti Dermaga Kerajaan, Jeti Awam, Jeti Tukar Barangan (Barter Trade Jetty) dan Terminal Pendaratan Penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke JPDS Labuan, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Ewon bersama rombongan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut diberikan taklimat mengenai peranan, perkembangan semasa serta perancangan JPDS di seluruh Sabah oleh Pengarah JPDS, Maswandie Maimon.

Ewon turut merakamkan penghargaan terhadap inisiatif sedia ada serta perancangan pembangunan yang dilaksanakan JPDS bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan pemegang taruh.

Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), JPDS dijadual melaksanakan sebanyak 23 projek dengan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak RM4.75 juta bagi tahun 2026.

Antara projek yang dirancang termasuk pembinaan bantuan pelayaran seperti suar dan muar, pembinaan jeti terapung untuk kapal kecil, pembinaan bot malim, pengukuhan penguatkuasaan melalui perolehan kapal tunda dan kapal pemantau serta latihan berkaitan, pembinaan menara sistem pemantauan trafik perkapalan dan radar, pembinaan terminal feri, kemudahan serta jeti tukar barangan, selain pembinaan Kompleks Ibu Pejabat JPDS di Kimanis serta pembinaan semula kuarters kakitangan JPDS di Kota Kinabalu.

Dalam lawatan kerja sama, Ewon dan rombongan turut mengunjungi perusahaan Pandikar Food yang mengusahakan produk sambal garing berasaskan udang dan ikan. Usahawan berkenaan berasal dari Tuaran dan kini berjaya menembusi pasaran Brunei.

Beliau mendoakan kejayaan berterusan kepada usahawan terbabit dan berharap pencapaian itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan.

Seterusnya, Ewon turut melawat outlet QCC Baked di Labuan. Perusahaan yang bermula di Kompleks SEDCO itu pernah menerima bantuan di bawah Program Transformasi Usahawan Sabah dan kini berkembang sebagai perniagaan francais dengan lapan outlet di Sabah, dua di Labuan serta lima di Semenanjung Malaysia.

Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan usahawan Sabah dan berharap kejayaan itu dapat diteruskan serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih ramai usahawan tempatan.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Jonnybone J Kurum, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Datuk Fredian Gan, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah Siti Nur’Ain Abdullah serta pegawai-pegawai MINDET.

TAMAT

Share This Article