PUTATAN (27 OKTOBER): Kajian wajar dibuat berhubung tempoh perkhidmatan anggota tentera yang berpangkat rendah.
Pegawai Penerangan Parti Bumi Kenyalang (PBK) Sabah, Datuk Jasni Matlani berkata, kajian itu perlu dibuat bagi membolehkan anggota tentera berpangkat rendah terus berkhidmat.
“Ada dalam kalangan mereka mahu meneruskan perkhidmatan tetapi terhalang disebabkan oleh penetapan tempoh khidmat yang sedia ada,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, peluang yang berkhidmat lebih lama patut diberikan dan tempoh khidmat yang digunakan ketika ini wajar dikaji semula.
Adalah difahamkan tempoh khidmat anggota tentera yang berpangkat rendah antara 21 atau 26 tahun. Situasi itu berbeza dengan anggota tentera yang berpangkat tinggi.
Jasni berkata, PBK akan menyuarakan perkara itu agar diberikan perhatian.
“Keadaan sekarang sudah jauh berbeza dengan keadaan dahulu dan perkara itu sepatutnya dilakukan kajian,” katanya lagi.
Menurutnya, kajian itu perlu dibuat sebagai mengikuti peredaran masa.
Katanya, tawaran untuk berkhidmat lebih lama patut diberikan kepada mereka.
Beliau berkata, terdapat anggota tentera yang masih dan mahu terus berkhidmat.
“Inilah yang dilihat oleh PBK dan kita memberikan perhatian terhadap perkara ini,” katanya lagi.
Tamat

