Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 9 Okt – Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terbalik di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu–Sandakan, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa bin Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3.05 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 31 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 3.35 petang pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik.
“Terdapat enam mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki warga Indonesia.
Semua mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘rescue tools RTA’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ketiga-tiga mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita masing-masing berusia 36 dan 38 tahun serta seorang lelaki berusia 41 tahun manakala tiga mangsa yang cedera parah ialah seorang lelaki berusia 43 tahun dan dua wanita berusia 40-an serta 46 tahun.
Operasi diketuai PBK I Muhammad Sua’it bin Mohammad bersama lapan anggota dengan bantuan tiga anggota KKM dan tiga anggota PDRM.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas memastikan kawasan kejadian selamat,” tambahnya.
TAMAT