Oleh: Aleya Badhriesiah
SANDAKAN, 28 Sept – Parti Warisan yakin menjadi pilihan utama rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Bahagian Warisan Lahad Datu merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, berkata kemenangan sebenar hanya terletak di tangan rakyat yang semakin matang dalam membuat penilaian politik.
“Besok rakyat Sabah tidak akan terkeliru untuk memilih parti yang benar-benar memperjuangkan hak mereka. Kami percaya kemenangan mutlak terletak di tangan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan peringkat bahagian parti WARISAN P.185 Batu Sapi di sini hari ini.
Menurutnya, Warisan memilih untuk tidak bergabung dengan parti lain pada PRN kali ini kerana mahu membuktikan kemampuan berdiri sendiri sebagai wadah perjuangan rakyat.
“Kami tidak menolak kerjasama, tetapi mahu membuktikan kepada rakyat bahawa Warisan adalah parti yang boleh membawa kemakmuran kepada Sabah, insya-Allah,” jelasnya.
Mohd Yusof berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Bahagian Batu Sapi di Ballroom Sanbay Hotel, di sini pagi tadi.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kesiapsiagaan jentera Warisan di Batu Sapi yang disifatkannya mantap, berdisiplin serta beramanah dalam meyakinkan pengundi.
“Tiada pilihan lain untuk rakyat Sabah, khususnya di Batu Sapi, melainkan Warisan sebagai parti yang mampu membawa kemakmuran. Inilah masa untuk kita rapatkan lagi saf perjuangan,” katanya.
Menurutnya, perjuangan Warisan bukan sekadar meraih kuasa politik, sebaliknya usaha menyelamatkan Sabah daripada pelbagai masalah yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.
“Rakyat sudah melihat sendiri cabaran yang dihadapi negeri ini. Warisan tampil dengan iltizam untuk menyelamatkan Sabah, bukan janji kosong, tetapi komitmen bersama rakyat,” ujarnya.
TAMAT
