sh@ editor
Kuala Penyu, 15 September 2025 – Seorang lelaki berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia selepas lemas ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di Kampung Batu Linting, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.15 petang menerusi talian MERS999.
Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu yang diketuai oleh PBK II Mohd Razali bin Denah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Balai dan tiba pada jam 1.44 petang.
Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan bersama pasukan bantuan daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Komander Operasi, mangsa berjaya ditemui pada jam 1.45 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Pegawai Perubatan KKM yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.57 petang.
Misi menyelamat melibatkan lapan anggota BBP Kuala Penyu dengan kekuatan logistik sebuah jentera jenis Urvan.
TAMAT