WANITA UMNO LAHAD DATU TUNTUT BN TANDING SEMUA 4 DUN DALAM PARLIMEN LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU: 12 Julai-Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu menegaskan tuntutan agar Barisan Nasional (BN) diberikan ruang bertanding di kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Wanitanya, Sitti Royani Rafael, berkata keempat-empat DUN yang dimaksudkan ialah Tungku (N.60), Segama (N.61), Silam (N.62) dan Kunak (N.63).

“Tuntutan ini bukan retorik semata-mata, sebaliknya bersandarkan kekuatan jentera dan akar umbi yang dimiliki UMNO BN di Lahad Datu,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Chee Yee Khor, Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dan turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris.

Royani turut menyifatkan keputusan PRN 2018 dan 2020 tidak wajar dijadikan ukuran mutlak kerana faktor tsunami politik dan ketidaksefahaman gabungan ketika itu.

Beliau menambah, PRN akan datang menjadi peluang kepada UMNO untuk bangkit dan kembali dominan serta membentuk kerajaan negeri bersama BN.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua ahli parti untuk kekal bersatu, menolak perpecahan dan memperbaiki persepsi terhadap UMNO.

Sementara itu, Dr. Noraini dalam ucapannya menegaskan keperluan UMNO memiliki “resepi” untuk meyakinkan semula pengundi agar kembali menyokong BN.

“Kita perlu turun padang dengan semangat dan ramah kepada pengundi, bukan marah mereka. Yang penting, bantu mereka percaya semula kepada kita,” katanya.

Beliau turut yakin BN mampu merampas semula kerusi parlimen dan DUN di kawasan itu sekiranya semangat kebersamaan dikekalkan.

TAMAT

Share This Article