SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH
17 FEBRUARI 2025
LAHAD DATU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak akan dimenangi semula oleh parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Ketuanya, Datuk Sri Dr. Anil Sandhu yang juga Penyelaras UMNO Kunak memaklumkan bahawa kawasan DUN tersebut merupakan kubu kuat parti UMNO suatu ketika dahulu.
Beliau yang juga Exco Pemuda BN Malaysia berkata ia adalah berdasarkan kajian dan dapatan di lapangan menunjukkan rakyat sudah mula beralih arah dan memberi kepercayaan semula kepada UMNO.
Menurutnya,peratus kekalahan dari tahun 2018 hingga 2020 pada PRN tidak tinggi.
“Jadi untuk kita menang semula dan kembali, saya menaruh keyakinan tinggi.
“Kerusi DUN Kunak memang senang untuk kita dapati dan kita menang. Ambil rampas kembali daripada mana-mana pihak. Cuma, hari ini orang nak tengok faktor calon. Siapa yang bekerja daripada awal dan siapa yang berkhidmat di sana selalu..” ,katanya.
Beliau ditemui ketika Program Back to School anjuran Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu pagi Isnin.
Dalam pada itu beliau juga memberitahu UMNO boleh berdiri sendiri pada PRN akan datang tanpa perlu bergabung dengan mana parti untuk menghadapi PRN.

