TUARAN,29 November – Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) terus mempergiat usaha mempromosikan produk Ikan Rakyat Sabah menerusi penyertaan dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) 2026 yang berlangsung di Padang Istiadat, Pekan Tuaran.
Menerusi promosi khas “FISH-FISH Harga Runtuh”, SAFMA menawarkan pelbagai hasil perikanan berkualiti pada harga berpatutan sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan bekalan ikan dan makanan laut pada harga mampu milik.
Promosi itu mendapat sambutan pengunjung sepanjang karnival yang turut menjadi platform bagi SAFMA mendekatkan produk perikanan tempatan kepada masyarakat khususnya dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Majlis perasmian penutupan KUD 2026 pada 28 November lalu disempurnakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Jamawi Jaafar.
Turut hadir, Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar bersama pasukan SAFMA yang menjayakan aktiviti promosi, pameran serta jualan produk Ikan Rakyat Sabah sepanjang karnival berkenaan.
Selain menawarkan hasil perikanan pada harga mampu milik, SAFMA turut mengambil peluang memperkenalkan Program Rakan Niaga Ikan Rakyat Sabah sebagai inisiatif membuka ruang keusahawanan dan peluang menjana pendapatan kepada masyarakat tempatan khususnya di kawasan luar bandar.
Program itu juga berpotensi memperluas rangkaian pemasaran dan pengedaran hasil perikanan ke seluruh Sabah sekali gus memberi manfaat kepada usahawan serta pengguna.
Penyertaan SAFMA dalam KUD 2026 mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, memperkukuh industri perikanan tempatan dan merancakkan ekonomi masyarakat.
SAFMA turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua pengunjung atas sokongan yang diberikan sepanjang berlangsungnya karnival berkenaan.
