BEKAS KETUA MENTERI SABAH IRINGI ABANG JOHARI KE PUSAT PENAMAAN CALON

sabahheadlines
1 Min Read

GEDONG: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak antara individu yang mengiringi Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, hari ini.

Salleh turut menyertai Abang Johari bersama penyokong GPS berarak menuju ke Dewan Masyarakat Gedong pada jam 8.30 pagi. Beliau turut dilihat bersalaman mesra dengan Premier Sarawak itu sebaik tiba di lokasi.

Menerusi hantaran di Facebook, Salleh berharap segala urusan penamaan calon berjalan lancar, selain proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman, tertib dan harmoni.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyasarkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi penggal ke-11, selain penggal kedua di DUN Gedong.

Sebelum ini, Pengerusi GPS itu membayangkan penggal akan datang sebagai penggal terakhirnya menerajui kepimpinan berkenaan, sambil mengakui peralihan kepimpinan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam parti.

Beliau dijangka berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Bebas, Jahari Pet.

Senarai rasmi calon yang bertanding akan dimuktamadkan selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.

Share This Article