TAWAU, 20 November – Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan keterangan kes, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk pemeriksaan lanjut berhubung satu laporan polis di Bukit Jelutong, Selangor.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang, 17 November lalu di ruang legar Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.
Mahkamah turut membenarkan kedua-dua suspek ditempatkan di IPD Tawau dan Pusat Tahanan Polis Mukim Batu, Kuala Lumpur bagi tempoh reman berkenaan.
Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
