DUA KANAK-KANAK MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH DI TAMAN RIA, TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 20 November – Dua kanak-kanak, masing-masing berusia 10 dan 13 tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria, Tawau, awal pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) autisme dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi pada jam 6.22 pagi.

Komander Operasi, PBK I Ahmad Pramuja Zainadun berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.

Menurutnya, seramai enam mangsa terlibat dalam kejadian itu, dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri dan keluar sendiri dari rumah berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang masih terperangkap ditemukan di sebuah bilik di tingkat atas dalam keadaan rentung pada jam 6.43 pagi.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman melibatkan 16 anggota BBP Tawau dengan bantuan lapan anggota PDRM dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pasukan bomba menggunakan dua aliran dan tiga pancutan bagi mengawal kebakaran dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Share This Article