800 TAHANAN FILIPINA DIHANTAR PULANG MELALUI PELABUHAN SANDAKAN

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN, 29 Oktober – Seramai 800 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal MV Antonia 1 menerusi Pelabuhan Sandakan hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menangani kesesakan di depot tahanan di Sabah.

Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha binti Habib Yussof berkata, penghantaran pulang itu melibatkan tahanan dari tiga depot iaitu Tawau, Sandakan dan Papar.

Daripada jumlah berkenaan, 590 orang merupakan lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, penghantaran berkenaan merupakan siri ke-188 bagi tahun ini manakala penggunaan kapal berkenaan adalah kali kedua selepas operasi terakhir pada Januari lalu.

Bagaimanapun, penggunaan kapal itu sebelum ini digantung sementara susulan insiden kapal di Filipina bagi membolehkan pemeriksaan semula dokumen berkaitan termasuk sijil pelayaran.

Menurutnya, seramai 1,069 tahanan telah dihantar pulang sepanjang minggu ini termasuk 217 orang pada 27 Oktober lalu.

Secara keseluruhan seramai 5,357 tahanan warga Filipina telah dihantar pulang dari Januari hingga hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran pulang tahanan pelbagai warganegara dari depot di Sabah sebanyak 7,439 orang.

Beliau berkata, enam lagi siri penghantaran pulang tahanan warga Filipina dirancang untuk dilaksanakan dengan sasaran 800 orang bagi setiap siri bermula minggu ini dan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya.

Usaha itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di depot tahanan selain membolehkan agensi penguatkuasaan meningkatkan operasi mereka.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak kedutaan Filipina dapat mempercepatkan urusan dokumentasi perjalanan bagi membolehkan tahanan dihantar pulang ke negara asal dengan segera.

Majikan turut diingatkan supaya memastikan pekerja masing-masing memiliki dokumen yang sah serta mematuhi peraturan dan Akta Imigresen.

Mengulas mengenai kemudahan depot tahanan beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan berkenaan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Bagaimanapun Depot Tahanan Tawau masih belum diserahkan kepada Jabatan Imigresen berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan kerja-kerja naik taraf.

Dengan pertambahan ruang di depot hasil penghantaran pulang berkenaan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), ESSCOM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen dijangka mempergiat operasi penguatkuasaan di Sabah.

Share This Article