LORI TRELER MUAT KAYU BALAK REMPUH KEDAI, DUA WANITA CEDERA PARAH

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 14 Oktober – Dua wanita cedera parah selepas sebuah lori treler membawa muatan kayu balak merempuh sebuah lori kargo 10 tan dan gerai jualan buah-buahan di tepi jalan di Ulu Dusun, Batu 28, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 50 tahun yang sedang berniaga di gerai berkenaan dan seorang penumpang lori kargo berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah.

Seorang lagi penumpang lori kargo, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun serta pemandu lori berkenaan dilaporkan selamat tanpa kecederaan. Pemandu lori treler turut dilaporkan selamat.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 8.24 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada jam 9.03 pagi.

Menurut laporan operasi bomba, seorang mangsa wanita yang tersepit di bahagian penumpang lori kargo berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum diberikan rawatan awal.

Kedua-dua mangsa yang cedera parah kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota BBP Sandakan dengan bantuan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi ditamatkan pada jam 9.34 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Share This Article